Skim mySalam

1. Apakah itu mySalam

mySalam merupakan sebuah inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang memberikan perlindungan takaful kepada individu di dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 melalui Tabung Amanah mySalam.


2. siapakah yang layak untuk mySalam

Penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 yang layak berumur di antara 18 hingga 55 dan pasangan mereka akan dimasukkan ke dalam mySalam.


3. apakah manfaat yang diperolehi melalui Skim ini


Pembayaran tunai RM8,000 dibayar sekali secara apabila didiagnos salah satu daripada 36 Penyakit Kritikal

Pendapatan gentian elaun hospitalisasi harian sebanyak RM50 sehingga 14 hari atau maksimum RM700 setahun di mana-mana hospital kerajaan.



                                         

PLEASE CLICK FOR MORE INFO




Belanjawan 2020: Peruntukan akses kesihatan rakyat dinaikkan

BERNAMA
KERAJAAN menyediakan peruntukan RM30.6 bilion bagi memastikan rakyat memperoleh akses penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua selaras dengan aspirasi masyarakat yang inklusif.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama, berkata peruntukan itu lebih tinggi berbanding RM28.7 bilion pada belanjawan tahun lalu yang bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan penjagaan kesihatan awam.
Lim berkata, peruntukan yang diumumkan itu merangkumi tujuh perkara, antaranya RM1.6 bilion bagi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf serta membesarkan hospital sedia ada, termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Kampar, Hospital Labuan dan Pusat Kardiologi Hospital Queen Elizabeth II di Sabah.
“Sejumlah RM319 juta bagi membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigian serta kemudahan kuarters.
“Sebagai memenuhi satu daripada janji manifesto Pakatan Harapan, peruntukan permulaan sebanyak RM60 juta akan disediakan kepada semua kanak-kanak pada tahun depan.
“Bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dan trauma lebih responsif, sebanyak RM59 juta akan diperuntukkan untuk menambah bilangan ambulans melalui kerjasama dengan perkhidmatan ambulans badan bukan kerajaan (NGO),” katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, dalam peruntukan yang sama, RM227 juta disediakan untuk menambah baik peralatan perubatan, manakala RM95 juta untuk pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan seperti di Hospital Pontian.
Dalam pada itu, Lim berkata, RM31 juta turut diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), antara lain melaksanakan projek rintis bagi sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital dan RM5 juta bagi perkhidmatan Klinik Bergerak untuk memudahkan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya Orang Asli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 6:20 PM

Peranan insurans, takaful kurangkan kos rawatan kesihatan

Rabu, 19 Jun 2019 | 4:39pm
Kesedaran terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan. Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), dianggarkan 73 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia disebabkan NCD dan peratusan ini terus meningkat setiap tahun.
NCD paling banyak dihadapi rakyat Malaysia adalah berkaitan kardiovaskular dan kanser. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan melancarkan inisiatif Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau disebut sebagai PeKa B40, bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap NCD.
Selain PeKa B40, beberapa inisiatif diperkenalkan kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat bagi menghadapi kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat.
Tuah dan musibah boleh menimpa sesiapa sahaja - berkemampuan atau tidak, tua atau muda, tidak kira waktu dan tempat.
Insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu atau sebuah organisasi kepada syarikat insurans. Individu atau organisasi terbabit akan menjadi pemegang polisi.
Syarikat insurans bayar pampasan
Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada pemegang polisi dalam bentuk premium. Sekiranya pemegang polisi kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada pemegang polisi itu.
Takaful pula mempunyai prinsip asas sama, namun ditambah baik daripada insurans bagi memenuhi keperluan produk mengikut peraturan digariskan Syariah.
Insurans dan takaful dilihat sebagai cara mengurangkan kos rawatan kesihatan masa kini. Ia memberi sokongan kewangan yang amat diperlukan ketika waktu kecemasan.
Perlindungan kewangan adalah instrumen penting dalam merancang kewangan jangka masa panjang. Perlindungan kewangan melindungi diri daripada musibah yang tidak dijangka.
Berbeza simpanan, perlindungan kewangan bertujuan mengurangkan kos perbelanjaan rawatan kesihatan. Harga premium insurans dan takaful meningkat seiring tahap usia dan kesihatan seseorang.
Premium untuk pelan kesihatan ditentukan umur, sejarah perubatan, bandar kediaman dan lain-lain daripada yang diinsuranskan. Jika premium dibeli pada usia muda, amaun dibayar lebih murah.
Selain perlindungan, terdapat juga pelan insurans dan takaful yang menggabungkan perlindungan dengan pelaburan. Premium dibayar bukan sahaja menyediakan insurans semata-mata, tetapi sebahagian daripadanya dilaburkan ke dalam dana pelaburan.
Mendapat berita sahabat ditimpa penyakit atau kemalangan amat mendukacitakan. Pasti ini menimbulkan kos perbelanjaan lain seperti kos ubat, kos rundingan doktor, peralatan perubatan, kos perjalanan ulang-alik ke hospital serta kos lain.
Atas sebab itu, masyarakat harus lebih peka terhadap kepentingan dan peranan insurans dan takaful dalam memberi sokongan kewangan yang lebih terjamin. Pada masa sama dapat membiayai kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat hari ini.
Tiada jumlah wang yang boleh menggantikan nyawa seseorang, namun polisi insurans dan takaful boleh memberi perlindungan untuk berdepan dengan ketidaktentuan hidup.
Amir Jalal,
Pegawai Penyelidik di EMIR Research